Polis buru suspek pecah rumah, larikan wang tunai dan barang kemas

Polis memburu suspek yang dipercayai melarikan wang tunai bersama barang kemas bernilai RM5,000 dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Changkat, Gombak, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir Berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada hari kejadian.

“Pengadu mendakwa dia telah meninggalkan rumah pada pukul 8 pagi hingga 6.30 petang dalam keadaan berkunci.

“Tetapi, setelah tibanya di rumah pada pukul 6.30 petang, pengadu mendapati pintu jeriji rumahnya berada dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan umpil serta keadaan di dalam rumah berselerak.

“Pengadu juga turut membuat periksaan barang di rumahnya dan hasilnya mendapati wang tunai dan barang kemas telah hilang dipercayai dicuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Ahmad Fatrah Amirul di talian 013-312 2600 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

Terdahulu, tular video berdurasi 20 saat memaparkan seorang lelaki disyaki bukan warga tempatan dilihat memecah masuk sebuah rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat