Pihak polis bergiat aktif mengsan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an baru-baru ini dipercayai telah melakukan kegiatan samun bersenjata di stesen minyak berhampiran Jalan Pusing, Batu Gajah, Perak.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintenden Zolkifli Hanafiah, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.45 pagi itu, dua pekerja stesen minyak berkenaan iaitu seorang wanita tempatan berusia 52 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 26 tahun, mengalami kecederaan ringan di bibir dan kepala.
“Maklumat dari mangsa mengatakan bahawa kedua-dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dan Honda RSX 150. Salah seorang daripada telah masuk ke dalam stesen minyak berkenaan dengan mengacukan pisau kecil.
“Kedua-dua mangsa tidak mengendahkan arahan suspek hingga menyebabkan berlaku pergelutan. Dalam pergelutan itu, suspek berjaya melarikan dua telefon bimbit yang dianggarkan bernilai sekitar RM500,” katanya menurut laporan Bernama.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar kejadian itu menerusi sosial media yang dokongsikan oleh netizen yang memaparkan seorang wanita terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan barangan di stensen minyak tersebut turut berselerak.
Zolkifli berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
Selain itu, kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan susulan dengan pekerja wanita itu menerima empat jahitan di bahagian bibir, manakala pekerja lelaki itu menerima lapan jahitan di kepala.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat terhadap kejadian yang berlaku, untuk menghubungi IPD Batu Gajah untuk membantu siasatan.
Baca juga: