Polis Hulu Selangor selesaikan kes babit ugutan jenayah, geng samun

Polis Hulu Selangor telah berjaya menahan dua individu melakukan khianat dan ugutan jenayah dengan niat menakutkan pengadu pada Rabu yang berlaku di perumahan Sungai Buaya, Serendah Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata, penangkapan dilakukan melalui serbuan yang dijalankan di kediaman suspek, di mana dua individu yang terdiri daripada dua lelaki warga tempatan telah berjaya ditahan.

“Suspek berumur 34 tahun hingga 46 tahun dan kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod lampau yang membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Selain itu, ujian air kencing kesemua suspek didapati kedua-dua suspek negatif dan suspek ditahan reman bermula dari 22 hingga 25 April 2024 untuk siasatan lanjut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala, Seksyen 506 Kanun Keseksaan membawa hukuman tujuh tahun atau denda kedua-duanya.

Sementara itu, pada 24 April 2024 pihak polis Hulu Selangor turut berjaya menumpaskan satu kumpulan geng samun Putra melibatkan kedai runcit di sekitar kawasan daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Menurut Ahmad Faizal, serbuan yang dijalankan berasingan di kawasan Kuala Kubu Baharu dan Telok Panglima Garang berjaya menahan dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan satu warga asing.

“Berdasarkan semakan awal, suspek berumur 21 tahun hingga 30 tahun. Semakan didapati suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau yang membabitkan jenayah, manakala suspek warga asing didapati tiada rekod lampau,” katanya.

Dalam pada itu, suspek telah ditahan reman bermula dari 25 hingga 30 April 2024 selama enam hari untuk siasatan lanjut.

Justeru itu, pihak polis percaya dengan tertangkapnya suspek tersebut mereka berjaya menyelesaikan dua kes jenayah yang berlaku di daerah Hulu Selangor dan Kuala Langat serta sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap polis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat