Polis Johor siasat kes 2 anggota ‘pau’ warga Singapura

Polis Kontinjen Johor menjalankan siasatan terhadap dua anggota polis trafik yang dipercayai melakukan pemerasan ke atas pemandu dipercayai warga Singapura.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar S.Muthuvelu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh menerima hukuman sehingga 10 tahun berserta denda atau sebat dengan mana-mana daripada kedua-dua hukuman itu.

“Namun, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan yang dibuat oleh mangsa berhubung insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

M.Kumar turut memberitau, polis telah membuat permohonan rasmi ke Penjabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk mendapatkan bantuan bagi mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik video dan hantaran berkenaan dakwaan tersebut untuk membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video papan pemuka kereta yang memaparkan sebuah kenderaan yang dilencongkan ke arah laluan lori sebelum dua orang anggota polis trafik mengenakan saman dan mengambil dokumen pengenalan diri pemandu kereta berkenaan.

Hantaran yang dihantar oleh pemilik akaun Facebook bernama Irene Teo tersebut menyatakan bahawa dia diarahkan untuk membayar wang sejumlah RM500 sebagai saman kerana memandu di kawasan yang tidak dibenarkan.

Irene turut berkata anggota polis berkenaan turut menyatakan bahawa kesalahan saman mereka tidak akan direkod sekiranya mereka membayarnya secara terus tanpa perlu hadir ke balai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat