Oleh: Shafira Aziz
KLANG: Polis giat mengesan seorang lelaki yang melarikan peralatan memancing di sebuah kedai pancing dekat sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vjijaya Rao Samachulu berkata suspek telah datang ke kedai berkenaan dan meminta pekerja untuk mengeluarkan beberapa jenis peralatan memancing.
“Semasa berurusan dengan suspek, pengadu (pekerja kedai) memberitahu bahawa suspek telah melarikan dua unit mesin pancing jenis Shimano yang diletakkan di hadapan kaunter.
“Jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM3,100,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Vijaya turut memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kejadian yang berlaku dan polis berjaya mengesan wajah suspek.
Beliau juga menambah kes disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis yang berdekatan.