Polis KL lupus dadah RM44.3 juta

PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM44.3 juta yang melibatkan 21,293 kertas siasatan sejak tahun 2009 hingga 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Hj Marsus berkata, pelupusan itu dilaksanakan mengikut peruntukan PTKPN D207 selepas semua kes selesai di mahkamah.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras penyalahgunaan dadah yang boleh memberi kesan besar kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Antara dadah dilupuskan ialah methamphetamine, ketamine, heroin, MDMA, cannabis, nimetazepam, kokain serta mitragynine (air dan daun ketum).

Nilai pasaran keseluruhannya dianggarkan RM44.3 juta, dengan berat melibatkan 839,776 gram dadah pepejal dan 1.34 juta mililiter cecair.

Proses pelupusan turut melibatkan peralatan serta bahan kimia untuk memproses dadah, dengan anggaran jumlah pengguna yang terkesan daripada rampasan ini mencecah 1.17 juta orang.

Bagi mematuhi piawaian alam sekitar, Polis Kuala Lumpur menggunakan khidmat Kualiti Alam Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Cenviro, yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan sisa berjadual.

Syarikat berkenaan menggunakan fasiliti insinerator moden berteknologi ‘scheduled waste to energy’ yang menghasilkan tenaga baharu secara teratur dan bebas pencemaran.

Barang kes yang dilupuskan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, termasuk Seksyen 39B berkaitan pengedaran dadah yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat