KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menumpaskan lapan pusat panggilan (call centre) penipuan dalam talian dalam beberapa siri operasi antara 10 hingga 14 November lalu, sekali gus membawa kepada penahanan 57 individu di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi bersepadu yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur itu dilaksanakan dengan kerjasama pasukan di peringkat daerah dan kontinjen bagi membanteras sindiket yang menyasarkan mangsa dalam dan luar negara.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan tangkapan, lima suspek merupakan warga tempatan manakala 52 lagi adalah warga asing.
“Mereka ditahan di beberapa unit kediaman yang diubah suai menjadi pusat operasi penipuan.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua tangkapan adalah pekerja sindiket yang terlibat dalam pelbagai modus operandi termasuk penipuan tawaran kerja tidak wujud serta pelaburan mata wang kripto palsu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sindiket berkenaan turut menyasarkan warga asing sebagai mangsa, menggunakan taktik panggilan dan mesej manipulatif untuk memperdaya.
“Kesemua suspek telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian serta berdepan pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Fadil berkata, polis akan terus mempergiat operasi bagi mengekang kegiatan sindiket penipuan yang semakin agresif memanipulasi mangsa melalui platform digital.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada, membuat pengesahan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan dan segera melaporkan aktiviti mencurigakan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.
Untuk info, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan ketara dengan sindiket menggunakan hartanah sewa sebagai ‘call centre’ bagi mengelak dikesan.
Polis Kuala Lumpur sebelum ini melaksanakan beberapa siri operasi berterusan bagi mengekang kegiatan sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi.








