Polis Kuala Lumpur mengumumkan penutupan beberapa jalan di ibu kota sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah pada Selasa.
Istiadat tersebut berlangsung daripada Istana Negara ke Dataran Parlimen yang kemudiannya diteruskan dengan acara state drive ke Bulatan Dato Onn hingga ke Dataran Parlimen semula.
Untuk kelancaran perjalanan istiadat berkenaan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penutupan jalan secara penuh dan sementara bagi beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebanyak tujuh laluan terlibat dengan penutupan penuh manaka 13 laluan akan ditutup secara berperingkat.
“Penutupan jalan akan ditutup bermula pukul 6 pagi untuk memberi laluan pergerakan masuk pasukan pelambai seramai 3,650 orang yang akan diturunkan di sepanjang Jalan Parlimen hingga ke arah Bulatan Dato Onn.
“PDRM akan menggunakan khidmat 91 anggota untuk mengawal lalu lintas sepanjang istiadat tersebut dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Antara jalan yang akan ditutup secara penuh bermula pukul 9 pagi dan dibuka secara berperingkat termasuk Jalan Damansara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Lebuhraya Sultan Iskandar yang menghala ke arah Jalan Parlimen.
Jalan menuju ke arah Bulatan Dato’ Onn yang ditutup pula termasuk Jalan Kuching, Jalan Salahudin, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Perak.
Selain jalan yang ditutup sepenuhnya, terdapat jalan yang ditutup sementara termasuk Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Tun Sambathan yang menghala ke arah Jalan Damansara.
Jalan menghala ke arah Jalan Istana yang ditutup sementara termasuk Jalan Syed Putra dan Jalan Dewan Bahasa.
Jalan-jalan lain yang ditutup sementara termasuk Jalan Sungai Besi ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lingkaran tengah Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra, New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway (MEX) dari arah Tol Salah South, Lebuhraya KESAS dari arah Sungai Besi dan Lebuhraya KL-Seremban dan SUKOM Interchange ke arah Lebuhraya KESAS.
Bagi 31 Januari pula, Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka (Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17) akan diadakan di Istana Negara yang turut melibatkan penutupan beberapa jalan secara sementara.
Antara laluan yang ditutup termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Plus, Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.
Allaudeen turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk tidak melalui jalan-jalan yang terlibat untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas di lokasi.
Baca juga: