Polis Daerah Kulai, Johor sedang mengesan seorang individu lelaki yang berpaut di belakang lori yang sedang bergerak melalui sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku di KM35 Lebuhraya Link Kedua arah Senai pukul 10 pagi pada Khamis.
“Pemandu lori jenis Scania itu pada mulanya tidak menyedari lelaki berkenaan berpaut pada bahagian belakang lori yang dikendalinya dan hanya menyedari perkara tersebut setelah rakannya menghantar video tular berkenaan.
“Dia kemudian hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk membantu siasatan,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Menurut Tan, kes disiasat dibawah Seksyen 47(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan untuk tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Baca juga: