Polis larang perhimpunan GARAH depan Sogo malam ini

KUALA LUMPUR: Polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung malam ini di Sogo, atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada jam 8 malam.

“Semalam, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi berhubung kebimbangan keselamatan pelanggan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Gambar hiasan: Freepik

Fadil menambah, maklumat risikan polis juga menunjukkan kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman serta ancaman keselamatan kepada masyarakat di kawasan perhimpunan.

“Lokasi ini dijangka dipenuhi orang ramai yang hadir untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan awam,” katanya.

Selepas meneliti semua maklumat dan risikan, polis membuat keputusan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan berkenaan.

“Perhimpunan ini dijangka boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang awam, justeru pihak polis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan,” tegasnya lagi.

Fadil menasihatkan orang ramai agar tidak hadir ke perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan.

“Pihak polis akan memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa diutamakan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat