Polis Melaka selesai 10 kes pecah premis dengan penangkapan seorang lelaki

MELAKA: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah premis di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 8 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah menerusi operasi khas, Op Pintu.

“Suspek sering beroperasi seorang diri dan menyasarkan premis seperti kedai, klinik dan tadika.

“Suspek aktif melakukan kegiatan itu sekitar awal pagi antara jam 6 pagi hingga 8 pagi. Suspek menggunakan alat seperti pemutar skru dan spanar untuk memecah masuk premis melalui tingkap.

“Dengan penangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah premis di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Christopher, 10 kertas siasatan telah dibuka dan suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, pagi ini.

Suspek, katanya, menghadapi lapan pertuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dua peraturan lain di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Anda Mungkin Berminat