Polis Melaka tangkap 141 suspek dadah, anggar rampas RM3,145

MELAKA: Dalam operasi tiga hari yang diberi nama ‘Op Sarang’, polis Melaka telah menahan 141 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Operasi berlangsung dari 27 hingga 29 Mac dan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Melaka bersama balai polis daerah.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, seramai 244 individu telah diperiksa dengan 141 ditahan atas kesalahan termasuk pengedaran, pemilikan, dan penggunaan dadah.

“Antara yang ditahan, tujuh individu disiasat atas kesalahan pengedaran dadah termasuk empat di bawah Seksyen 39B dan tiga di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sebanyak 39 individu ditahan atas kesalahan pemilikan dadah termasuk dua individu yang disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara 86 orang diuji positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu, katanya, polis turut berjaya menahan 12 individu yang dikehendaki.

“Operasi tersebut menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah, termasuk heroin (39.32g), syabu (9.13g), ganja (3.7g), cecair ketamin (1.03 liter), air ketum (31.4 liter) dan daun ketum (3kg).

“Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM3,145,” katanya.

Polis Melaka terus komited membanteras penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ini melalui hotline JSJN Melaka di talian 012-2087222.

Anda Mungkin Berminat