PETALING JAYA: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 14 September lalu.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, lelaki tersebut, Mohammed Ramzan Mohammad Rahman, 32 dilihat kali terakhir ketika keluar dari rumahnya di Flat Desa Perangsang, Taman Medan, Petaling Jaya sekitar pukul 8 pagi.
“Kami menerima laporan pada 7 November sekitar pukul 9.50 malam mengenai kehilangan Mohammed Ramzan.
“Sejak itu, usaha pencarian telah dijalankan, namun sehingga kini beliau masih belum ditemui,” jelas Shahrulnizam.
Polis turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Mohammed Ramzan untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Baalanaagan A/L Chanderan di talian 014-8882388 atau 013-9077904, atau menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.