PETALING JAYA: Polis mengesahkan kes seorang wanita terjun dari kenderaan bergerak di Lebuhraya Sprint yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, video berdurasi 14 saat itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Lion Wong hari ini.
“Rakaman menunjukkan wanita berkenaan membuka pintu sebelum keluar dari kenderaan di lorong kedua lebuh raya. Mangsa bergolek di atas jalan dan hampir dilanggar beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.
Setakat ini, tiada laporan rasmi dibuat berhubung kejadian tersebut.
Polis meminta saksi atau individu yang terlibat tampil segera membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Brickfields di 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999,” jelas beliau.
Hari ini tular sebuah video memaparkan seorang wanita terjun dari kenderaan bergerak di Lebuhraya Sprint, mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan jalan raya.
Baca juga: