Polis Negeri Sembilan Bongkar Sindiket Penyeludupan E-Waste, Penipuan Kad Touch ‘n Go

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mencatat kejayaan berganda apabila berjaya membongkar dua sindiket jenayah berprofil tinggi melibatkan penyeludupan bahan buangan terjadual (e-waste) dan penipuan kad Touch ‘n Go (TNG) dalam operasi berasingan di sekitar Seremban.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejayaan pertama dicapai menerusi Op Hazard yang dijalankan di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Senawang.

Dalam operasi tersebut, beliau berkata, pihak polis merampas 76 unit aluminium dross serta sebuah lori dan ekor lori yang mengandungi 320 beg bahan sama dengan nilai keseluruhan mencecah RM713,600.

Menurutnya, turut disita dalam operasi itu ialah 530 paket rokok, 356 tin bir, 121 botol arak dan 42 botol minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM12,268.20.

“Seramai 23 pekerja asing tanpa dokumen sah turut ditahan, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM725,868.20.

“Dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara China yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kad TNG.

“Rampasan melibatkan 304 keping kad, wang tunai sebanyak RM400,000, tiga unit telefon bimbit serta satu set CCTV dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM410,000,” katanya.

Menurut Alzafny, sindiket tersebut dipercayai menggunakan modus operandi membeli kad TNG yang telah digodam dan mempunyai tambah nilai tidak sah.

Katanya, kad-kad itu digunakan oleh pemandu lori untuk melepasi tol tanpa bayaran kerana nilai tambah tersebut tidak direkodkan dalam sistem rasmi TNG.

“Modus operandi mereka ialah membeli kad TNG yang digodam tetapi mempunyai tambah nilai tidak sah.

“Kad ini digunakan oleh pemandu lori untuk melepasi tol tanpa bayaran kerana nilai tambahnya tidak direkodkan dalam sistem TNG,” jelas beliau.

Bagi Op Hazard, sindiket dikesan menggunakan kilang sebagai tempat simpanan aluminium dross tanpa kelulusan, selain dijadikan stor rokok dan minuman keras tidak bercukai serta penempatan pekerja asing tanpa dokumen.

“PDRM Negeri Sembilan komited untuk membanteras jenayah penyeludupan, penipuan dan pencemaran alam sekitar melalui kerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat