Polis Perak Lupus Barang Kes Dadah Bernilai RM26 Juta

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak melupuskan pelbagai barang kes dadah dan ketum bernilai RM26.14 juta dalam satu operasi besar-besaran melibatkan 5,483 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan dari tahun 2012 hingga 2024.

Majlis pelupusan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohamad Azlin Sadari.

Sebanyak 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terlibat termasuk Ipoh, Taiping, Manjung dan Kuala Kangsar.

Antara barang kes yang dilupuskan ialah syabu seberat 404 kilogram (kg), daun ketum lebih 651 kg, cecair ketum melebihi tiga juta mililiter serta heroin, ganja, ketamin dan pelbagai bahan kimia.

Proses pelupusan dijalankan secara profesional oleh syarikat Clinco Waste Management Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Tungzen, Perak.

Dalam tempoh Januari hingga 24 Ogos 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak telah menahan 13,997 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

Daripada jumlah itu, 1,918 individu ditahan kerana mengedar dadah, menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Seramai 351 ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Manakala 51 lagi ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, 4,816 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah, meningkat 13 peratus berbanding 2024.

Tangkapan urin pula mencatatkan penurunan kepada 7,212 orang.

Rampasan dadah tahun ini dianggarkan bernilai RM15.7 juta dengan syabu, ketamin dan heroin menjadi antara rampasan utama.

PDRM turut merampas aset sindiket dadah bernilai RM6.3 juta melibatkan rumah, tanah, kenderaan dan akaun bank.

Menurut Mohamad Azlin, sebanyak 4,827 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dengan 98 peratus kes telah dituduh di mahkamah.

PDRM Perak berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan.

Anda Mungkin Berminat