IPOH: Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Canning pada Khamis lalu.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 30 tahun sementara pasangan 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 2.30 petang.
Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai jurujual itu menggunakan botol berpelekat minuman kesihatan untuk mengisi cecair dadah bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum menghantar bungkusan kepada pelanggannya.
“Polis merampas beberapa botol berisi cecair disyaki dadah jenis Methamphetamine daripada seorang lelaki di kaunter mail boxes dalam sebuah stesen minyak.
“Antara rampasan termasuk tiga botol bertulisan “Kembali Dara” (500 ml setiap satu), dua botol “Ladies Collagen” (260 ml setiap satu) dan satu botol kaca “Platinium Drink” (527 ml).
“Hasil soal siasat ke atas suspek lelaki itu, sepasukan polis telah pergi ke rumah pasangan tersebut di Chemor dan menemukan enam botol disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran sebanyak 34,784 milliliter yang bernilai RM 1,194,592,” katanya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita berkenaan positif benzodiazepine, sementara siasatan lanjut menunjukkan suspek lelaki memiliki rekod jenayah berkaitan dadah.
Ujarnya lagi, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi dianggarkan bernilai RM40,000.
“Sindiket ini dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak Jun tahun lalu dan disyaki untuk edaran pasaran tempatan dan luar negara. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk seramai 373,331 orang penagih dadah.
“Suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula 21 Mac sehingga 27 Mac ini manakala isterinya direman selama lima hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Baca juga: