Polis sahkan ada kerja pengorekan tanah sebelum letupan di Putra Height

SUBANG JAYA: Polis Selangor mengesahkan kerja mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kerja tersebut bertujuan menggantikan paip kumbahan dan dilaksanakan kira-kira 30 meter dari pusat letupan.

Aktiviti itu dihentikan pada 30 Mac menggunakan dua jentera, termasuk backhoe dan excavator. Salah satu daripada jentera itu dikhuatiri terbenam dalam kawah letupan yang berlaku.

Hussein memaklumkan bahawa pihak polis telah mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti korek tanah tersebut, termasuk pemaju, kontraktor, subkontraktor, dan pekerja. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada kerja-kerja tersebut ada kaitan dengan letupan paip gas itu.

“Kami masih meneliti pelbagai aspek, seperti kedalaman korekan, jarak dari paip gas, serta kewujudan pencetus letupan,” katanya dalam satu sidang media pada Jumaat.

Setakat ini, seramai 56 saksi telah diambil keterangan, termasuk pekerja tapak binaan, kontraktor, serta mangsa yang berada di lokasi kejadian.

“Saksi utama, seorang pengawal keselamatan yang berada 30-meter dari pusat letupan, juga cedera dan melaporkan melihat kejadian tersebut,” jelasnya.

Kes ini sedang disiasat bagi menentukan sama ada ia melibatkan unsur khianat atau kecuaian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat