BANTING: Seorang lelaki tempatan maut dalam insiden tembakan yang berlaku sekitar pukul 10.05 malam, Ahad.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, pihak polis menerima maklumat melalui panggilan kecemasan MERS 999 berhubung kejadian tersebut.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mengesahkan pada 4 Januari 2026, jam lebih kurang 10:05 malam, Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Langat menerima maklumat daripada MERS 999 telah berlaku satu (1) kejadian tembak di sebuah restoran di kawasan Banting yang melibatkan kematian satu (1) lelaki warga tempatan,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia melibatkan unsur peribadi atau jenayah terancang.
Polis menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” tambah beliau.








