PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa menantu kepada seorang bekas Perdana Menteri yang sedang diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, waran tangkap terhadap lelaki berkenaan yang juga seorang ahli perniagaan telah dikeluarkan, namun tindakan lanjut memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa negara terlibat.
“Insya-Allah, kami akan cuba yang terbaik untuk selesaikan perkara ini.
“Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklumat daripada Interpol.
“Mungkin SPRM boleh menjawab persoalan lanjut mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan dan sesi latihan ‘dry run’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh.
Media sebelum ini melaporkan bahawa individu terbabit dipercayai telah melarikan diri sejak lebih dua tahun lalu dan kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Beberapa gambar yang dikongsi kepada sebuah akhbar tempatan turut menunjukkan kelibatnya bersama individu kenamaan dari rantau berkenaan.








