Polis sahkan wujud aktiviti bogel dan lucah dalam program eHati

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan wujud adegan lucah dan bogel di sebuah program motivasi rumah yang dianjurkan oleh sebuah syarikat yang dikenali eHati.

Menerusi sidang media hari ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan bahawa program berkenaan menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 termasuk ‘Queen Night’.

“Sehingga sekarang, siasatan memang mendapati bahawa wujudnya kegiatan bogel yang berlaku dalam majlis itu.

“Kita juga kesan terdapat peserta terdapat dari kalangan profesional, penjawat awam yang menyertai program ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan beri kami ruang,” ujarnya.

“Paling kurang empat individu yang terlibat dalam majlis itu telah melakukan adegan lucah sebahagian daripada acara yang dipanggil ‘Queen Night,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein memberitahu pihaknya turut berjaya merampas beberapa peralatan dan cecair yang digunakan dalam majlis tersebut.

“Queen Night ini lah yang berlaku aktiviti lucah yang saya sebutkan tadi, melibatkan empat individu yang melalukan sebuah aktiviti dipanggil ‘revert’ untuk menaikkan motivasi mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kes tersebut kini sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan; Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada masa sama, beliau memaklumkan ia merupakan kali pertama polis membuka kertas siasatan ke atas program berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti latar belakang pengasas dan status kelayakan mereka. Polis memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan secara terperinci dan akan mengumumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah satu hantaran di Facebook mendakwa program eHati yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam melibatkan pengasas dan fasilitator program menanggalkan pakaian mereka, dan kemudiannya menari bersama-sama peserta lain.

Peserta yang hadir juga diminta meminum sejenis air yang didakwa menyebabkan perubahan emosi dan rasa ghairah.

Hantaran berkenaan juga mendakwa pengasas program itu kemudian menari bersama seorang lagi ahli wanita yang lain dalam keadaan mengghairahkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat