SHAH ALAM: Polis Selangor mencatat dua kejayaan besar dalam usaha membanteras jenayah curi kabel dan tabung masjid, hasil operasi khas yang dijalankan, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, CP Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan pertama dicapai menerusi ‘Op Kabel Viral’ pada 23 dan 26 Februari lalu.
Menurutnya, operasi yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor bersama IPD Shah Alam dan IPD Kuala Muda itu melibatkan serbuan di Dengkil, Sungai Petani, dan Ipoh.
“Seramai sembilan suspek tempatan berusia 19 hingga 44 tahun ditahan termasuk enam lelaki dan tiga wanita.
“Majoriti mempunyai rekod jenayah lampau, tujuh daripadanya positif dadah, manakala dua lagi masih dikehendaki.
“Polis turut menyita kenderaan, kabel dan peralatan jenayah bernilai RM60,000,” katanya.
Kes ini berjaya menyelesaikan beberapa kes curi kabel di Jinjang, Kupang dan Padang Serai, sementara tiga suspek lain masih diburu.
Kesemua suspek akan dituduh pada 3 Mac 2026 di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 414 KK mengikut peranan masing-masing.
“Kejayaan kedua pula melibatkan kes curi tabung di Masjid Kristal, Seksyen 7, Shah Alam.
“Operasi pada 22 dan 24 Februari berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia 17 hingga 26 tahun, kesemuanya mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.
Seorang daripada mereka didapati positif dadah.
Polis merampas sebuah Toyota Avanza, empat telefon bimbit serta wang tunai RM200.
Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 298 dan 380 KK.
“Pengurusan rumah ibadat perlu memastikan CCTV berfungsi dengan baik, mengosongkan tabung secara berkala serta meminta orang ramai menyalurkan maklumat individu mencurigakan,” katanya.








