PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kejayaan besar apabila berjaya melumpuhkan beberapa sindiket jenayah terancang di Selangor dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM5.45 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi bersepadu yang berlangsung antara 30 Mac hingga 9 April itu dijalankan di sekitar negeri Selangor serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam operasi tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor (JSJN) dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di KLIA.
“Hasil serbuan, sebanyak 37 kilogram syabu dan 45 kilogram bunga ganja dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5.45 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa empat suspek telah ditahan manakala seorang lagi masih diburu.
Rampasan tersebut sekali gus menyekat bekalan dadah yang mampu menjerat sehingga 273,000 pengguna.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor (JSJK) turut membongkar rangkaian penipuan dalam talian melibatkan judi atas talian, ‘love scam’ dan pelaburan tidak sah.
Serbuan di Kajang, Petaling Jaya dan Serdang membawa kepada tangkapan majoriti warga asing serta penyitaan aset dan peralatan elektronik bernilai RM138,000.
“Ketua Polis Selangor menzahirkan penghargaan atas keprihatinan masyarakat yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM.
“Sinergi erat itu menjadi tunjang keberhasilan operasi dalam mengekang trend pengedaran dadah serta jenayah siber yang kian mencabar pada masa kini,” katanya.








