PETALING JAYA: Polis Selangor berjaya menumpaskan beberapa sindiket jenayah siber melibatkan aktiviti perjudian atas talian dan penipuan pelaburan menerusi siri serbuan di sekitar Sungai Buloh, Subang Jaya dan Rawang sepanjang Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan pertama di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh pada 30 Ogos, seramai 34 individu ditahan termasuk seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam operasi perjudian atas talian.
“Polis merampas 21 komputer dan 22 telefon. Sindiket ini dipercayai mampu raih keuntungan harian antara RM2,000 hingga RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, serbuan kedua di Subang Jaya pada 28 Ogos pula menyaksikan penahanan 12 lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 57 tahun.
Katanya, turut dirampas ialah 11 komputer riba, 32 telefon bimbit dan skrip operasi bernilai RM50,000 yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan pelaburan.
Sementara itu, Shazeli berkata, dalam serbuan di Kota Emerald, Rawang pada 11 Ogos, polis menahan 10 lelaki tempatan berusia 21 hingga 30 tahun yang dipercayai menipu mangsa dari negara jiran melalui pelaburan palsu.
“Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan komputer riba, 50 telefon dan beberapa peralatan bernilai RM45,000 dan semua suspek didenda RM3,000 setiap seorang,” katanya.
Pada 15 Ogos, satu lagi operasi dijalankan di Prima Beruntung, Rawang, menyaksikan penahanan 17 individu yang menawarkan kerja sambilan palsu melalui aplikasi kripto. Rampasan kali ini mencecah RM75,000.
“Polis Selangor komited membanteras jenayah siber dan kegiatan ‘call center’ yang semakin berleluasa,” tegas Shazeli.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang mencurigakan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kewujudan pusat panggilan penipuan.