Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menahan seramai 153 individu termasuk seorang pengedar dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Sitiawan, Perak pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengatakan 25 orang daripada tangkapan didapati positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan benzo melalui ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka.
“Mereka terdiri daripada 14 lelaki warganegara tempatan dan 11 wanita warganegara Vietnam dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun.
“Dalam tangkapan itu juga, enam wanita warganegara Vietnam turut ditahan kerana disyaki bekerja sebagfai pelayan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas beberapa paket jus mengandungi dadah dan foil aluminium berisi pil erimin 5 yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM2,936 di dalam kereta seorang individu yang disyaki sebagai pengedar dadah.
Yusri turut berkata, hasil siasatan awal mendapati aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan tersebut dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan kerja tanpa permit sah disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1953 dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/1963.
Baca juga: