Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap dua pemilik akaun TikTok berhubung dakwaan menyebarkan kenyataan berunsur hasutan dan maklumat tidak benar di platform media sosial itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri M. Kumar, bahawa siasatan susulan dua hantaran berasingan yang tular di TikTok, melibatkan akaun dikenali sebagai Muhammad Zamis Shah (@zamis88_shah98_sikacau) dan Monkey Dnaga.
“Hantaran pertama melibatkan akaun Muhammad Zamis Shah berkaitan isu kematian Zara Qairina Mahathir, manakala satu lagi hantaran oleh akaun Monkey Dnaga mengaitkan Perdana Menteri Malaysia dengan Israel,” katanya.

Tambah Kumar, kedua-dua pemilik akaun berkenaan telah dikenal pasti dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang kaitan antara mereka.
Jelas beliau, usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Kes tersebut kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sejurus laporan polis diterima.
Siasatan dijalankan di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM menasihatkan orang ramai agar lebih beretika dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial, serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” ujarnya.
Baca juga: