Polis Siasat Hinaan Terhadap Sultan Selangor, 21 Laporan Diterima

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran bergambar yang menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, melibatkan akaun Facebook ‘Huayan The Pureland Learning Centre’.

Menurut kenyataan rasmi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar (L. S. Muthuvelu), siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, sebanyak 21 laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama daripada seluruh negara.

“Seramai 21 orang saksi termasuk individu-individu yang tampil membuat laporan polis telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” jelas kenyataan itu.

PDRM turut memaklumkan bahawa pemilik atau pentadbir akaun berkenaan telah dikenal pasti dan tindakan lanjut termasuk rampasan peranti sedang dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial bagi maksud yang menyalahi undang-undang termasuk berkaitan isu 3R.

“Kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai limitasi, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” tegas beliau.

PDRM berkata, siasatan akan diteruskan sehingga selesai dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terbabit.

Anda Mungkin Berminat