JOHOR BAHRU: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang vokalis kumpulan muzik “skinhead” dipukul sekumpulan individu dipercayai berlaku di sebuah gimnasium di Jalan Wadi Hana, Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa satu perhimpunan tidak rasmi kumpulan ‘skinhead’ yang dinamakan sebagai “Remember 69 Rundown”.
Katanya, video pergaduhan itu mula tular pada 11 Mei sekitar jam 11.00 malam melalui akaun Facebook Armpunk.Sindicate.
“Dalam video tular itu, sekumpulan kira-kira enam lelaki dilihat memukul seorang lelaki dan salah seorang suspek telah menggunakan tong sampah sebagai senjata.
“Polis sedang mengesan kesemua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan dan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dibuat untuk mengenalpasti pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan awam atau menyalahgunakan platform media sosial. Tindakan tegas akan diambil demi menjamin ketenteraman dan keselamatan masyarakat,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.
Baca juga: