Polis Siasat Kejadian Pelajar Jatuh Dari Asrama Sekolah Di Sabak Bernam

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Polis Kontinjen Selangor, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan segera membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sejurus menerima laporan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekelilingnya,” katanya.

Setakat ini, polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi yang berkaitan.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa sebarang spekulasi mengenai punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli, adalah terlalu awal untuk disahkan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.

“Polis Selangor komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujar kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat