KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat satu kes penderaan dan kecederaan terhadap kanak-kanak yang mengejutkan masyarakat selepas rakaman video insiden tersebut tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku pada malam 14 Disember 2025, sekitar pukul 11.55 malam, di sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu.
Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, insiden itu melibatkan sekumpulan pelajar dari sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.
“PDRM IPD Kota Kinabalu mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan terhadap kanak-kanak, yang tular menerusi rakaman video di media sosial,” katanya.
Bertindak atas maklumat awam dan rakaman yang tersebar, pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata, serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang berkaitan dengan penderaan terhadap kanak-kanak.
Kasim turut mengingatkan orang awam agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan privasi pihak terlibat.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi semua pihak terlibat.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.








