Polis siasat kes lelaki pukul bekas kekasih

Video rakaman individu lelaki yang memukul seorang wanita dipercayai bekas teman wanitanya mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kejadian yang dikatakan berlaku di dalam sebuah kenderaan itu memperlihatkan kedua-duanya saling berbalah dan mengadu mulut sebelum lelaki terbabit dipercayai melakukan tindakan agresif dengan memukul mangsa.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitenden Noor Ariffin Mohamad Nasir, siasatan awal mendapati mangsa berusia 21 tahun ditampar teman lelakinya akibat perselisihan faham.

“Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 6.30 petang pada Isnin sementara lelaki tersebut berusia 22 tahun,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk membantu.  

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Anda Mungkin Berminat