BANTING: Polis sedang menyiasat insiden di mana seorang pengawal keselamatan melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di sini, Kuala Langat, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, kejadian berlaku pada 19 April 2025 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Beliau berkata, insiden bermula apabila seorang lelaki tempatan membuat laporan pada pukul 12.05 tengah hari bahawa adik lelakinya mengamuk di rumah mereka.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan membuat laporan pada jam 12.05 tengah hari sebelum anggota kereta peronda dikerahkan ke lokasi untuk membawa adik pengadu ke Hospital Banting untuk rawatan.
“Kemudian, kira-kira pukul 3.31 petang, polis menerima panggilan bahawa seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran di Banting.
“Selain itu, pengadu memaklumkan ada tembakan dilepaskan ke arah lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan kejadian itu.
Di mana seorang lelaki dalam keadaan mengamuk sedang mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.