Polis siasat pengaruh permainan Roblox insiden budak 9 tahun cederakan adik

JOHOR BAHRU: Polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular, Roblox, menjadi faktor yang mempengaruhi tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mencederakan adiknya di Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja itu melibatkan mangsa berusia enam tahun yang ditemui dengan luka kelar di leher serta kesan tikaman di badan.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu bermain permainan Roblox dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta mata. Namun, mata tersebut hilang selepas telefon bimbitnya dirosakkan oleh adik lelakinya.

“Suspek dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam berkaitan permainan itu dan mendakwa dia disuruh mencederakan keluarganya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Rabu.

Beliau berkata, suspek kemudian mengambil pisau di rumah sebelum menyerang adiknya. Mangsa kini dirawat di hospital di Batu Pahat dan dilaporkan stabil.

Menurut Ab Rahaman, ibu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak itu yang berusia lingkungan 40-an telah ditahan bagi membantu siasatan dan direman sehingga esok.

“Polis turut mengambil keterangan ahli keluarga lain termasuk kakak mangsa berusia 15 tahun. Mangsa dan suspek kini di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Tambahnya, siasatan masih di peringkat awal dan polis telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mangsa ditemui parah sebelum dibawa ke hospital oleh ahli keluarga. Laporan dibuat oleh ibu mangsa pada jam 9 pagi hari sama.

Anda Mungkin Berminat