Polis terima 19 laporan berkaitan sindiket penipuan tawaran pekerjaan palsu melalui laman sesawang ‘lynxoasis.com’ melibatkan nilai kerugian berjumlah RM688, 099.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan itu menggunakan platform Instagram dan Facebook untuk mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan selaku agen tempahan hotel.
“Mangsa yang berminat akan diminta membuka akaun di laman sesawang ‘lynxoasis.com’ dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel sebagaimana diarahkan.
“Tempahan perlu dibuat menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan ia akan dipulangkan semula beserta komisen.
“Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 0.6 peratus hingga 10 peratus bergantung kepada tugasan yang diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Ramli, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan, sindiket akan mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tempahan.
Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, sindiket ini mula menyebarkan mesej “Job For Senior” yang mempromosikan pekerjaan sambilan di laman sesawang yang sama.
“Mesej ini yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp disyaki menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas,” katanya.
Untuk rekod, tiga daripada 19 laporan polis yang diterima adalah dalam kategori warga emas dengan nilai kerugian yang dicatatkan berjumlah RM269,237 sekali gus menunjukkan warga emas merupakan sasaran yang lebih ‘berkualiti’ berbanding kategori mangsa lain.
Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan sindiket penipuan berkenaan.
Untuk sebarang aduan, boleh hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
Baca juga: