PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat satu video tular berdurasi 32 saat yang menyalahgunakan imej Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Video berkenaan dimuat naik menerusi akaun TikTok @datukzulkarnain77 dan memaparkan seolah-olah Baginda menyampaikan ucapan berhubung tawaran bantuan kewangan kepada rakyat.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa, kandungan video itu adalah palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ini adalah cubaan penipuan yang menjadikan imej dan suara Baginda sebagai alat untuk memperdaya orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media.
PDRM mengesahkan satu laporan polis telah diterima, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan tidak menghubungi individu yang dinamakan dalam video terbabit kerana ia berpotensi melibatkan penipuan kewangan.
JSJK turut menyeru masyarakat agar sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya di media sosial.
Sebelum ini, sebuah hantaran di Facebook telah tular memaparkan wajah dan suara menyerupai Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang kononnya menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat.
Baca juga: