PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan anggota semasa Ops Tapis yang tular di Facebook.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya telah terkesan satu kenyataan dan video tersebut pada jam 1 tengah hari Selasa.
“Kandungan tersebut yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘En Abdul’ memaparkan video serbuan dilakukan oleh empat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Pihak polis mengesahkan serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara.
“Kejadian video tular itu berlaku pada 10 Oktober 2024 semasa melakukan Ops Tapis di kawasan Damansara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan yang tular seperti di laman sosial tersebut.
Jelasnya lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam kejadian terbabit.
Hasil tinjauan di Facebook mendapati pemilik hantaran itu mendakwa mendapat sumber video daripada Edisi Siasat.
Dalam video tersebut, memaparkan empat anggota polis datang ke sebuah kediaman dan bertindak memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) dan melakukan pemerasan seperti didakwa pemilik video itu.
Baca juga: