Polis sudah lengkapkan siasatan kes buli MCKK

Polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan kejadian pelajar tingkatan lima yang didakwa terbabit dalam kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu juga diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini.

“Kita juga sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan lima MCKK mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes berkenaan di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah terbabit secara keseluruhan. – Berita Harian

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat