Polis Tahan 12 Pelajar UMT Terlibat Kes Pukul Beramai-ramai

Oleh: Syahirah Harish

KUALA TERENGGANU: Polis menahan 12 pelajar lelaki Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas disyaki terlibat dalam insiden memukul seorang rakan seuniversiti secara bergilir-gilir di kolej kediaman universiti tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, laporan polis diterima pada 17 Disember daripada bapa mangsa yang mendakwa anaknya telah dipukul sehingga mengalami kecederaan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 15 Disember antara pukul 1.00 hingga 5.00 pagi dan dimaklumkan kepada pengadu menerusi panggilan telefon oleh mangsa pada pukul 10.50 malam semasa pengadu berada di Melaka.

“Pengadu tiba di Kuala Terengganu pada 16 Disember dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut di unit kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul objek tumpul di beberapa bahagian badan termasuk lengan, dada, perut dan kaki mangsa.

Susulan siasatan, polis menahan 12 suspek dan merampas senjata dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan yang membawa hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat