KUANTAN: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah kongsi pekerja lombong bijih timah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, awal pagi semalam.
Menerusi kenyataan media hari ini, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ashari Abu Samah berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga asing iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar serta seorang lelaki tempatan. Mereka berusia antara 38 hingga 64 tahun.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 42 tahun merupakan penghuni rumah kongsi terbabit bersama suspek-suspek lain.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku telah menikam mangsa selepas berlaku kekecohan ketika mangsa berada dalam keadaan mabuk.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan sebilah pisau, dan empat sampel darah telah diambil untuk tujuan analisis lanjut,” katanya.
Ashari berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini oleh rakannya kira-kira jam 3 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman pada beberapa bahagian tubuh.
Katanya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Baca juga: