Polis tahan lelaki curi lori tanker dalam tempoh 2 jam

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah dadah berjaya ditahan dalam tempoh 2 jam selepas mencuri sebuah lori tangki di Yong Peng semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu dilaporkan oleh pemiliknya, seorang lelaki berusia 42 tahun yang memaklumkan lori yang diparkirnya di tepi Jalan Labis-Yong Peng hilang.

“Lori berkenaan disedari mangsa hilang pada jam 9.45 pagi kelmarin.

“Bertindak atas laporan yang diterima, anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Polis Batu Pahat terus menghebahkan kejadian yang berlaku melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) polis Johor kepada semua petugas yang sedang bertugas di lapangan.

“Pada jam 10.50 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tangkak berjaya mengesan dan menahan lori tanker yang dilarikan tersebut di kawasan Sungai Rambai, Jasin, Melaka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, suspek yang berusia 41 tahun ditahan ketika sedang memandu lori tersebut

Siasatan mendapati, suspek mempunyai 13 kes rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

Beliau memberitahu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tiga hari iaitu dari semalam hingga esok.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ekoran hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat