Polis tahan lelaki pandu secara melulu dan merbahaya di Batu Feringgi

Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang memandu sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru secara melulu dan merbahaya di Jalan Batu Feringgi menuju Teluk Bahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid menyatakan kejadian tersebut menyebabkan beberapa kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan lain.

“Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 6.40 petang itu, beberapa klip video yang tular di media sosial menunjukkan anggota polis dan orang awam cuba menghentikan kereta suspek, namun pemandu tersebut enggan berhenti.

“Namun pihak polis akhirnya berjaya menangkap suspek di hadapan sebuah restoran di Jalan Batu Feringgi,” katanya dalam kenyataan.

Hasil pemeriksaan mendapati bahan disyaki dadah jenis ganja dan syabu di dalam beg silang milik suspek.

Razlam turut memaklumkan semakan lanjut menunjukkan suspek memiliki satu rekod jenayah lampau dan dua rekod kes dadah serta ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes sedang disiasat dibawah beberapa seksyen Akta Dadah Berbahaya dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kanun Keseksaan, manakala suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat