Polis Tahan Lima Individu, 16 Motosikal Disita Dalam Ops Banteras Lumba Haram

JOHOR BAHRU: Polis menahan lima individu termasuk empat remaja dalam Operasi Khas Bersepadu (Motosikal) yang dijalankan bagi membendung aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di sekitar bandar raya itu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Raub S berkata, operasi berkenaan turut disertai anggota Balai Polis Majidee bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan lancar dan berkesan.

“Hasil operasi, empat lelaki warga tempatan berumur antara 16 hingga 19 tahun ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam sehingga mengancam keselamatan pengguna lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta penjara sehingga lima tahun.

Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki warga asing kerana menunggang motosikal yang dilaporkan hilang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, selain individu itu turut dikesan melanggar syarat imigresen apabila dokumen perjalanannya telah tamat tempoh,” katanya.

Sepanjang operasi, sebanyak 16 motosikal disita dan 41 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Polis menegaskan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan adalah perbuatan berbahaya serta tidak akan dikompromi.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti ini,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah jalanan.

Anda Mungkin Berminat