Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Polis menahan pemandu van sekolah yang menurunkan dan mengambil pelajar dalam keadaan sedang bergerak yang disifatkan sebagai bahaya sehingga tular di media sosial.
Menurut kenyataan media pada Rabu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, pihaknya mengesan satu video tular di Facebook yang memaparkan van dalam keadaan bergerak sedang menurunkan dan mengambil dua pelajar pada pukul 5.43 petang kelmarin.
Beliau menjelaskan, hasil semakan awal mendapati rakaman video tersebut menunjukkan sebuah van dalam keadaan bergerak sedang menurunkan dan mengambil dua pelajar sekolah di Daerah Kajang yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar sekolah dan pengguna jalan yang lain.
“Pihak Polis telah berjaya mengesan dan telah menahan pemandu van tersebut iaitu seorang lelaki, warga tempatan berumur 59 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Zahrein di talian 017-3818422.
“Pihak polis menyeru supaya semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, memandu dengan berhemah dan berhati-hati tidak kira di mana jua berada,” katanya.
Baca juga: