Polis tahan warga emas ugut Pakar Patologi isu Zara Qairina

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, yang memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, susulan laporan polis yang dibuat pada 5 September lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek, yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan akaun Facebook berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta bertanggungjawab, selain berfikir sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.

Katanya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Terdahulu, Dr Jessie membuat laporan polis selepas menerima ugutan melalui media sosial, sejurus selepas memberi keterangan selama dua hari di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dalam inkues kematian Zara Qairina.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat