PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini tiada sebarang bukti ditemui yang menunjukkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan pistol ke arah ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, ketika serbuan di kediamannya, baru-baru ini.
Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook Polis Selangor pada Isnin, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah Tei serta bahan video lain telah diserahkan kepada pihak forensik untuk semakan dan analisis lanjut.
“Namun polis tidak menemui sebarang keterangan atau bukti yang boleh mengesahkan dakwaan itu sehingga hari ini.
“Siasatan masih dijalankan dan kita sedang mengumpul bahan bukti lain. Siasatan tidak berhenti setakat ini,” katanya.
Shazeli turut memaklumkan bahawa polis telah merakam keterangan Albert dan isterinya yang juga merupakan pengadu dalam kes tersebut.
“Selain mereka berdua, kita (polis) juga sudah selesai merakam keterangan kesemua pegawai SPRM yang terlibat dalam serbuan itu.
“Sementara itu, anak-anak pengadu… kita akan rekod keterangan dalam masa terdekat kerana mereka berada di luar kawasan ketika ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Albert Tei, seusai dilepaskan daripada tahanan reman, mendakwa dirinya diacukan dengan beberapa pistol di hadapan isteri dan anak-anak ketika pegawai SPRM menyerbu kediaman mereka sebelum dia digari.
Susulan itu, beliau membuat laporan polis pada 28 November lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bagaimanapun menolak dakwaan salah laku tersebut.
Beliau menegaskan pegawai operasi yang terlibat dilengkapi dengan alat rakaman termasuk kamera badan bagi memastikan ketelusan setiap tindakan.








