Polis Tingkat Risikan, Awal Kesan Rancangan Demonstrasi Ekstrem – Shamsul Anuar

PARLIMEN | Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh usaha risikan bagi mengesan lebih awal sebarang perancangan pihak tertentu menganjurkan demonstrasi berunsur ekstrem atau cuba mengeksploitasi sentimen rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pemantauan bukan sahaja dilakukan di media sosial, malah turut melibatkan kerjasama rapat dengan agensi tempatan dan antarabangsa.

“Kaedah risikan dilakukan melalui pemantauan media sosial serta kerjasama strategik dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Interpol,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjelaskan, isu semasa yang tular dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat turut dijadikan indikator penting dalam risikan.

“Antara sentimen yang dikesan termasuk dakwaan tindakan ‘double standard’ dalam penguatkuasaan,” katanya.

Shamsul Anuar menegaskan kerajaan tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, namun keselamatan awam menjadi keutamaan pihak polis.

Dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap kerajaan, katanya, kementerian turut menjalin kerjasama erat dengan NGO, persatuan pendidikan dan keagamaan serta agensi berkaitan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat.

Terdahulu, isu mengenai keupayaan risikan PDRM dibangkitkan oleh Suhaizan Kaiat (Pulai–PH) yang meminta penjelasan berhubung strategi baharu mendapatkan maklumat awal penganjuran himpunan.

Untuk rekod, meskipun permit perhimpunan tidak lagi diwajibkan, penganjur demonstrasi atau himpunan aman tetap perlu mengemukakan notis pemberitahuan kepada pihak berkuasa seperti termaktub dalam undang-undang sedia ada.

Anda Mungkin Berminat