JOHOR BAHRU: Sebanyak 86 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di seluruh negeri Johor dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, tindakan itu dilakukan bagi membanteras aktiviti perjudian termasuk dalam talian serta loteri tanpa lesen, bagi memastikan mereka tidak kembali beroperasi semula.
Katanya, operasi mega itu dilakukan bermula 25 Februari hingga 26 Februari lalu melibatkan 18 orang pegawai kanan polis, 46 orang pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor, 48 anggota TNB dan tujuh anggota Majlis Perbandaran Daerah Muar dan Tangkak.
“Hasil operasi, sebanyak 86 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik iaitu Johor Bahru Selatan (14 premis), Johor Bahru Utara (10), Iskandar Puteri (19), Kulai (4), Kota Tinggi (11), Muar (7), Batu Pahat (6), Pontian (5), Kluang (4), Segamat (3), Mersing (2) dan Tangkak (1).
“Manakala lapan premis dibatalkan lesen perniagaan di Muar (7) dan Tangkak (1).
“Tindakan pemotongan elektrik itu dilakukan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 untuk ejen loteri awam tanpa lesen dan Seksyen 48(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 bagi perjudian atas talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, usaha pemotongan bekalan elektrik ini, dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) sebagai langkah tegas membanteras aktiviti perjudian haram yang berleluasa di negeri Johor.
Mengulas lanjut, kata Kumar, dari 1 Januari 2024 hingga 26 Februari 2025, sebanyak 470 premis judi dipotong bekalan elektrik oleh TNB dan 88 lesen perniagaan judi dibatalkan lesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Baca juga: