Seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan cedera parah selepas dilanggar oleh sebuah kereta di KM 3.6, Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya, Johor pada Ahad kira-kira pukul 7.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat melaporkan mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas kemalangan sebuah kereta yang terbabas sendiri sebelum dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah belakang.
“Mangsa telah tercampak ke atas cermin kereta hadapan kereta berkenaan kemudian melambung dan terjatuh di tengah jalan.
“Disebabkan pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah tulang pinggul sebelah kiri, luka-luka pada bahagian muka dan dagu serta luka pada tangan kanan,” katanya dalam kenyataan.

Raub menyatakan pemandu kereta tersebut yang berusia dalam lingkungan 30-an turut mengalami kecederaan luka pada tangan kiri.
Sementara itu, hasil ujian pernafasan terhadap pemandu tersebut mendapati dia positif alkohol dan negatif dadah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan.
Dalam pada itu, pihak polis meminta saksi awam yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil ke Balai Trafik IPD Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan kepada pihak polis.
Baca juga: