Polis Tumpas ‘Geng Budak Sekolah’, Terlibat Jual Gambar Tidak Senonoh

PARLIMEN | Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Budak Sekolah’ yang terlibat dalam jenayah seksual dalam talian termasuk membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kanak-kanak itu bersama empat rakannya mengendalikan sebuah laman web dan kumpulan WhatsApp yang mempunyai lebih 762 ahli.

“Mereka ambil gambar bahagian tubuh sendiri dan jual.

“Malah, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu berhenti sekolah kerana pendapatan yang diperoleh jauh lebih tinggi daripada ibu bapanya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN–Jerai) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan tindakan lanjut sedang diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman.

Dalam isu berkaitan aktiviti ‘swinger’, Saifuddin turut memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan lima peruntukan undang-undang sedia ada untuk membanteras kegiatan tersebut.

Katanya, antara yang digunakan ialah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Penapisan Filem 2002 dan Enakmen Syariah negeri-negeri.

Beliau menjelaskan bahawa hasil risikan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme (D7) pada Ogos 2024 telah mengenal pasti sebuah laman web yang mempromosikan aktiviti ‘swinger’.

Susulan itu, serbuan dilakukan di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

“Dalam operasi itu, pelajar universiti awam dan swasta, penjawat awam serta warga asing ditahan dan kes telah dibawa ke mahkamah di bawah Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat