Polis Tumpas Penjenayah Dalam Insiden Berbalas Tembakan Di Dengkil

PETALING JAYA: Suasana tegang melanda deretan kedai di tepi jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil, Dengkil pada malam Isnin apabila berlaku insiden tembakan berbalas antara polis dan seorang lelaki disyaki penjenayah.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.10 malam itu berakhir dengan suspek ditembak mati di lokasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, insiden berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) sedang menjalankan operasi membanteras kes samun di kawasan Banting, Dengkil dan Sepang.

Menurut beliau, pasukan D9 yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah Perodua Myvi berwarna perak dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pasukan serbuan cuba menahan, tiba-tiba suspek telah bertindak melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis.

“Pasukan polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai warga tempatan, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek membawa kepada penemuan mengejut: sepucuk senjata api jenis Colt 45, tiga butir peluru serta tujuh paket plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah.

M Kumar berkata, tindakan pantas anggota D9 berjaya mengekang ancaman keselamatan dan menggagalkan cubaan suspek melarikan diri.

Anda Mungkin Berminat